Monday, May 31, 2010

Hot Talk: Al-Aqsa in Danger!!!

Alhamdulillah dengan kehendak-Nya, misi ziarah wakil PACE & Aqsa Syarif, Hj Shahool Hameed ke Australia telah berjaya dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam rangka misi kesedaran Isu Palestin dan juga motivasi Islam kepada para pelajar Malaysia di Australia.

Bermula di Melbourne, sesi ceramah Palestin telah berjaya menghimpunkan sekitar 30 pelajar siswazah dan pasca siswazah untuk mendengar penjelasan yang menarik disampaikan Hj Shahool. Perkongsian juga melibat sistem online 'Skype'. Di Sydney, sekitar 15 pelajar siswazah turut sama mendengar ceramah Palestin berkisar Zionisme dan kewujudan Yakjuj Makjuj di akhir akhir zaman ini.

Di Adelaide pula pada 30 Mei, program “Hot Talk: Al-Aqsa dalam Bahaya” berjaya menghimpunkan sekitar 120 hadirin terdiri dari para pelajar Malaysia dan Indonesia, rakyat Malaysia yang menetap di Adelaide dan beberapa rakyat Australia sendiri. Program yang dianjurkan dengan kerjasama FAMSY-SA, UMNO-SA, Masyarakat Islam Indonesia Australia Selatan (MIIAS), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-SA), Malaysian Muslim Welfare, dan juga Persatuan Pelajar Pasca Siswazah SA (MYPSA) telah berjaya menarik hadirin menghayati perjuangan membebaskan Palestin dan memahami kejahatan gerakan Zionis dalam usaha menakluk dunia.

Sdr. Ammar Termizi selaku Pengerusi Majlis memulakan program.

Walaupun kurang sihat, ceramah yang disampaikan Hj Shahool ternyata berbeza dan menginsafkan. Hadirin juga turut menyanyikan lagu tema 'Palestina Tercinta' secara beramai-ramai dengan penuh semangat.Kutipan Tabung MKPA berjumlah AUD$698.50 dan RM109.00. Wakil Aman Palestin turut mempromosikan Tabung Perubatan Mangsa Perang Gaza. Antara aktiviti lain yang diadakan adalah peraduan mewarna kanak-kanak bagi mendidik anak kecil mengenali masjid Aqsa dan penderitaan sahabat mereka di sana.

Kami sayangkan Al-Aqsa... antara peserta peraduan Mewarna Kanak-Kanak.

Kejayaan perhimpunan pertama kali menghimpunkan semua wadah dan pertubuhan melayu, Malaysia dan Indonesia di Adelaide ini mencatatkan sejarahnya tersendiri. Moga dengan penghayatan Isu Palestin ini menatijahkan kesatuan Ummah dan membangkitkan semangat juang yang tinggi kepada semua pelajar dan umat Islam.

"Untukmu Jiwa-Jiwa Kami"..menyanyikan lagu 'Palestina Tercinta'.

Pada 31 Mei pula, sesi ceramah Palestin dilanjutkan di rumah Saudara Sayuti Bashiron di Salisbury yang berjaya menghimpunkan empat keluarga dan sekitar 200 pendengar melalui sistem komunikasi online 'Paltalk'. Alhamdulillah, hasil perkongsian tersebut telah menimbulkan kesedaran pentingnya isu Palestin bagi setiap umat Islam dan menarik minat hadirin untuk menyumbang kepada anak-anak yatim Palestin. Kutipan Tabung MKPA pada malam tersebut mencecah AUD$100 dan RM50.

Pengarah Hot Talk, Sdr. Safwan Saparudin menyampaikan cenderahati

penghargaan kepada Ust Shahool.

Kini, Hj Shahool berada di Brisbane untuk ziarah pelajar dan membawakan isu Palestin kepada rakyat Malaysia yang menetap dan belajar di sana. Moga-moga ziarah dan perkongsian ilmu dan ruhi ini akan menatijahkan kesedaran yang tinggi di kalangan pelajar Islam dan menjadi agen perubah demi kebangkitan Ummah.

Mengulas serangan Zionis-Israel terhadap Misi Bantuan Gaza di perairan Gaza, Hj Shahool menyatakan bahawa sesungguhnya mereka (Zionis-Israel) satu bangsa yang sangat sombong dan bongkak... sememangnya laknat Allah kepada Zionis-Israel semakin hampir.

Dalam ziarah kali ini, beliau merasa sangat bersyukur dan bersemangat untuk berkongsi. Beliau juga mengharapkan roadshow Palestin ke Australia akan dilanjutkan dan dijana dari semasa ke semasa.

Bagi pihak PACE Australia, kami semua mengucapkan Jazakallahu khairan katheera kepada Ustaz Shahool kerana sumbangan beliau yang sedikit sebanyak merapatkan ukhwah antara kami dan menyuntik semangat yang tinggi untuk iltizam kepada perjuangan Palestin dan Islam.

Sekian dulu. Jangan putus-putus mendoakan sahabat-sahabat kita yang berjuang demi pembebasan Al-Aqsa. Hari ini kita berbicara di luar Al-Aqsa, moga-moga besok kita berbicara di dalam Al-Aqsa. Amin.